Back to Top

Latest News

 

Bookmark and Share

Malaysia Airports Tambah Kakitangan Perkhidmatan Bomba Dan Menyelamat Lapangan Terbang

14 March 2013

Sepang, 14 March 2013 - Selaras dengan keperluan semasa industri penerbangan dan untuk memastikan tahap keselamatan para penguna lapangan terbang dipertingkatkan dari masa ke semasa, Malaysia Airports hari ini menambah seramai 74 kakitangan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang.

74 rekrut baru ini telah menamatkan latihan intensif enam bulan Latihan Asas Ahli Bomba Lapangan Terbang dan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Anggota Bomba dan Menyelamat Malaysia Airports telah diadakan di Balai Bomba & Menyelamat, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini. Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan Bomba dan Menyelamat Malaysia Airports sebanyak 816 orang.

Latihan asas yang bermula pada bulan September 2012 meliputi teori dan praktikal telah dijalankan selama enam bulan di Pusat Latihan Malaysia Airports Pulau Pinang.

Y.Bhg Tan Sri Dato' Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Malaysia Airports dan YS Tuan Othman Abdullah, Pengarah Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Negeri Selangor serta pegawai-pegawai kanan Malaysia Airports turut hadir menyaksikan perbarisan tamat latihan ini.

Tan Sri Wan Abdul Aziz turut menyampaikan hadiah kepada pelatih-pelatih terbaik bagi:-

  1. Pelatih Terbaik Akademik
  2. Pelatih Terbaik Kemahiran Bomba
  3. Pelatih Terbaik Kawad Kaki
  4. Pelatih Terbaik Keseluruhan

Tan Sri Wan Abdul Aziz menyatakan, "Malaysia Airports yakin dengan pengambilan baru anggota-anggota bomba ini, tahap perlindungan dan keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang di bawah kendaliannya akan dapat dipertingkatkan selaras dengan perubahan dan perkembangan dalam industri penerbangan awam.

"Walaupun setakat ini kes kebakaran dan insiden melibatkan pesawat di lapangan terbang boleh dikategorikan kepada kes-kes terpencil sahaja, namun Malaysia Airports senantiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia. Penambahan kakitangan Bomba dan Menyelamat ini menunjukkan bahawa tahap keselamatan para pengguna di lapangan terbang sentiasa dipandang serius oleh Malaysia Airports."

Kata Tan Sri Wan Abdul Aziz lagi, "Pada tahun lepas, Malaysia Airports juga telah menambah jumlah jentera bomba baru di lapangan terbang-lapangan terbang antarabangsa kendaliannya. Inisiatif penambahan jentera bomba yang baru serta berteknologi tinggi ini dapat dilihat sebagai satu pelaburan yang baik bukan sahaja dalam meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang, malah membantu meningkatkan tahap kecekapan pasukan Bomba dan Menyelamat dalam mengatasi sebarang insiden di lapangan terbang."

Malaysia Airports sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam aspek kebombaan lapangan terbang.

Selain daripada melatih kakitangan Bomba dan Menyelamat bagi lapangan terbang di bawah kendaliannya, Malaysia Airports juga telah meluaskan kepakaran latihannya ke luar negara dengan melatih kakitangan Bomba dan Menyelamat bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad dan Delhi di India dan juga Maldives.


Advertisement
Events Calendar