Back to Top

News

No caption  

Bookmark and Share

Malaysia Airports Perkuatan Keselamatan Dengan Pengambilan 504 Rekrut Baru

16 April 2013

Sepang, 16 April 2013 - Malaysia Airports meneruskan usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan di seluruh lapangan terbang kendaliannya dengan mengambil seramai 504 pelatih pembantu keselamatan penerbangan, selaras dengan keperluan semasa.

Para pelatih Polis Bantuan ini secara rasminya menamatkan Latihan Asas Keselamatan Penerbangan dan Kepolisan hari ini pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Anggota Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports yang diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Pelatih terbaik untuk kategori Terbaik Keseluruhan, Terbaik Akademik dan Terbaik Kawad turut diumumkan pada majlis tersebut.

Para Pelatih Keselamatan Penerbangan Siri 3 dan 4 tahun 2012 ini telah menjalani tiga Fasa Latihan yang intensif dalam tempoh enam bulan iaitu Fasa Pertama ialah Latihan Kepolisan dan Fasa Kedua, Latihan Keselamatan Penerbangan yang diadakan di Pusat Latihan Polis DiRaja Malaysia (PULAPOL) Kuala Lumpur dan Langkawi, Kedah Darul Aman, manakala Fasa Ketiga pula melibatkan On-job Training di KLIA.

504 rekrut baru ini terdiri daripada 329 pelatih lelaki dan 175 pelatih wanita.Pelatih-pelatih ini akan ditempatkan sementara di KLIA untuk menjalani program persediaan dan penyesuaian operasi Lapangan Terbang sebelum bertugas di klia2 nanti.

Modul latihan yang diberikan merangkumi keselamatan lapangan terbang seperti Pengenalan dan Fungsi-fungsi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Struktur Organisasi Malaysia Airports, Akta Penerbangan Awam, Akta Kesalahan-kesalahan Penerbangan Awam, Peraturan-peraturan Penerbangan Awam, Prosidur Pemeriksaan Badan dan Bagasi, Pelan Kontijensi serta Kecemasan Lapangan Terbang dan lain-lain.

Selain daripada latihan aspek kepolisan dan keselamatan penerbangan, para pelatih juga turut didedahkan dengan aspek perkhidmatan pelanggan yang diterapkan melalui program khas Malaysia Airports iaitu "Courtesy & Care Program". Melalui program ini para pelatih mempelajari tatacara berurusan dengan para pelanggan dengan baik, berhemah dan berbudi bahasa tanpa berkompromi tentang prosedur dan ketetapan ketika bertugas.

Penambahan jumlah anggota keselamatan penerbangan ini adalah selaras dengan langkah-langkah keselamatan yang sentiasa diutamakan oleh Malaysia Airports di semua lapangan terbang demi memastikan keselamatan para penumpang dan pengguna lapangan terbang.

Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Malaysia Airports menegaskan kepentingan keselamatan di lapangan terbang, "Sebagai pintu masuk utama negara (lapangan terbang), Malaysia Airports telah meletakan keutamaan keselamatan pada tahap yang tinggi dan telah menyediakan peruntukan untuk tujuan latihan dan pembelian peralatan-peralatan terbaru yang berteknologi tinggi. Sebagai contoh, klia2 kelak akan dilengkapi dengan sistem kawalan keselamatan yang moden dan berteknologi tinggi bagi menjamin keselamatan para penumpang."

Beliau menambah, "Tidak dinafikan, seiring dengan kepesatan industri penerbangan, tahap ancaman keselamatan terhadap penerbangan juga turut meningkat dan peristiwa September 2001 serta peristiwa-peristiwa keselamatan penerbangan yang lain menyedarkan kita betapa pentingnya aspek keselamatan penerbangan dipertingkatkan. Ancaman pihak pengganas khususnya telah menyebabkan pelbagai usaha berterusan diambil oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan pihak berkuasa lapangan terbang seluruh dunia mempunyai sistem keselamatan yang mencukupi dan mematuhi piawaian keselamatan pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa atau ICAO."

Kehendak para pengguna lapangan terbang sentiasa meningkat, selaras dengan keperluan semasa industri penerbangan yang semakin mencabar dari masa ke semasa. Oleh itu, Malaysia Airports sedar tentang kepentingan untuk memastikan tahap perkhidmatan yang disediakan berada pada tahap yang terbaik setiap masa.

Sambung beliau, "Penambahan anggota seramai 504 orang ini menjadikan bilangan anggota Polis Bantuan Malaysia Airports melebihi 3,600 di seluruh negara dan setakat ini, Malaysia Airports merupakan salah satu agensi yang mempunyai jumlah anggota Polis Bantuan yang terbesar di negara ini.

Tan Sri Wan Abdul Aziz turut menyatakan, "Pihak Malaysia Airports amat menghargai sumbangan dan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia dalam program latihan ini dan kerjasama antara Malaysia Airports dan PDRM telah terjalin sekian lama. Adalah diharapkan gabungan kerjasama ini akan terus terjalin di dalam semua bidang khususnya dalam bidang latihan dan juga penguatkuasaan undang-undang di lapangan terbang.

Turut hadir di majlis perbarisan tamat latihan ini adalah YDH SAC Hasanuddin Bin Hassan, Ketua Jabatan Pengurusan, Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Selangor; ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan Malaysia Airports.


Advertisement
FB Like Banner
Events Calendar