Back to Top

Latest News

 

Bookmark and Share

Malaysia Airports Kongsi Keriangan Aidilfitri Bersama Anak-Anak Yatim

11 November 2006

Sepang, 11 November 2006 - Malaysia Airports hari ini meraikan anak-anak yatim di satu majlis Mesra Aidilfitri di Hotel Pan Pacific KLIA dengan matlamat untuk berkongsi keseronokan serta kemeriahan Aidilfitri dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Anak-anak yatim tersebut adalah daripada Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan Negeri Sembilan, Murad Foundation, Jemaah Kebajikan Anak-anak Yatim & Miskin Ulu Gadong dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim/Miskin Daerah Kuala Langat seramai 109 orang. Semua rumah anak-anak yatim tersebut turut menerima sumbangan sebanyak RM3,000.00 daripada Tabung Derma KLIA yang telah disampaikan oleh Y. Bhg. Tan Sri Datuk Dr. Aris Othman, Pengerusi Malaysia Airports.

Selain dijamu dengan pelbagai juadah hari raya, anak-anak yatim ini turut menerima sumbangan berupa duit raya, barangan keperluan harian dan juga kelengkapan persekolahan yang disampaikan oleh Pengerusi Malaysia Airports dan isteri, Y.Bhg. Puan Sri Sherina Aris serta Y.Bhg. Dato Seri Bashir Ahmad, Pengarah Urusan Malaysia Airports dan isteri, Y.Bhg. Datin Seri Annette Bashir.

Kelab Sukan Malaysia Airports (KESUMA) dan Persatuan Suri & Kakitangan Wanita Malaysia Airports (AERONITA) menambah keseronokan rumah terbuka Malaysia Airports ini dengan menyediakan duit raya yang diagih-agihkan kepada anak-anak warga kerja Malaysia Airports dan subsidiari. Para hadirin juga telah dihiburkan oleh artis-artis jemputan iaitu kumpulan Senario, Adam AF2, Ezlynn, Dato M. Daud Kilau, Dayang Nurfaizah, Faradhiya, Fadzli Zainal (Malaysian Idol) dan juga Sheila Rusly.

Malaysia Airports sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalankan aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat seperti ini selaras dengan Program Transformasi GLC untuk menggalakkan budaya masyarakat penyayang dan prihatin. Selain bertujuan untuk sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri, majlis Mesra Aidilfitri yang merupakan acara tahunan ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kakitangan Malaysia Airports dan subsidiari serta para pelanggannya.


Advertisement
Events Calendar