Back to Top

Latest News

 

Bookmark and Share

LTAB Langkawi Terima Jentera Bomba Baru Dan Pensijilan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat

26 March 2013

Langkawi, 26 March 2013 - Malaysia Airports terus meningkatkan kemampuannya di dalam kerja-kerja memadam api dan menyelamat mangsa di lapangan terbang apabila menerima empat buah jentera bomba baru untuk kegunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTABL).

Penyerahan jentera bomba baru kepada Malaysia Airports daripada pembekal, UMW Holdings Berhad telah disaksikan oleh Y. Bhg Tan Sri Dato' Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Malaysia Airports di LTABL hari ini.

Mengulas tentang langkah Malaysia Airports menggantikan jentera bomba ini, Tan Sri Wan Abdul Aziz menyatakan, "Selaras dengan perkembangan Langkawi sebagai sebuah pusat pelancongan yang terkenal, jumlah penumpang di LTABL pastinya mengalami peningkatan yang memberangsangkan dari tahun ke tahun. Oleh itu Malaysia Airports telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan usaha dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang di LTABL."

Tambah Tan Sri Wan Abdul Aziz, "Inisiatif penggantian jentera bomba yang baru serta berteknologi tinggi ini dapat dilihat sebagai satu pelaburan yang baik bukan sahaja dalam meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang, malah membantu meningkatkan tahap kecekapan pasukan Bomba dan Penyelamat dalam mengatasi sebarang insiden di lapangan terbang."

Malaysia Airports telah membeli sejumlah 19 unit jentera bomba dan dua unit jentera bomba sokongan untuk kegunaan beberapa lapangan terbang kendalian Malaysia Airports termasuk di terminal baru yang sedang dibina untuk syarikat penerbangan kos rendah, klia2.

LTABL dan tiga lagi lapangan terbang antarabangsa lain di Malaysia (Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang) masing-masing menerima empat buah jentera bomba, manakala klia2 menerima tiga unit jentera bomba serta dua unit jentera bomba sokongan.

Kemudahan jentera bomba yang baru ini yang setiap satu unit bernilai kira-kira RM2.6 juta juga akan menjadi pemangkin kepada pihak Malaysia Airports untuk terus mempertingkatkan kemudahan bukan sahaja di LTABL malahan di semua lapangan terbang di Malaysia selaras dengan tahap piawaian yang telah ditetapkan. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab Bahagian 'Airport Fire & Rescue Service' atau AFRS di semua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports untuk memastikan kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat mangsa dijalankan sebaik mungkin dan seberapa segera.

Kekuatan keseluruhan anggota AFRS Malaysia Airports di LTABL adalah seramai 26 orang.

Pada tahun 2012, pergerakan penumpang di LTABL telah mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 1,594,106 juta penumpang meningkat 5.9% daripada tahun sebelumnya manakala jumlah pergerakan pesawat juga telah meningkat sebanyak 4.5% kepada 15,162 penerbangan berbanding 14,510 pada 2011.

Pada hari yang sama, LTABL turut menerima pensijilan Information Security Management System (ISO/IEC 27001:2005) daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd., menjadikan LTABL sebagai lapangan terbang pertama seluruh Malaysia yang diiktiraf mempunyai sistem keselamatan untuk melindungi maklumat dalaman.

Skop pensijilan ini adalah sistem keselamatan pengurusan maklumat untuk pengurusan, operasi, penyelenggaraan dan peruntukan untuk perkhidmatan maklumat di LTABL meliputi:-

1) Operasi dan Kejuruteraan (Maklumat Penerbangan & Laporan dan Pemindahan Maklumat Penerbangan)

2) Keselamatan Penerbangan (AVSEC) - Pusat Operasi Keselamatan dan Kaunter Pas Harian

Salah satu masalah yang dibawa oleh teknologi pintar adalah peningkatan jumlah jenayah siber yang mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan ekonomi negara. Oleh itu, Malaysia Airports telah mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani ancaman ini dan ini telah diperakui melalui pensijilan SIRIM ini.

Sijil daripada SIRIM ini telah disampaikan oleh Dato' Azmi Murad, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi Malaysia Airports kepada Pengurus Kanan LTABL, Encik Abd. Halim Othman disaksikan oleh Tan Sri Wan Abdul Aziz dan Y.Bhg. Tan Sri Khalid Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Malaysia Airports turut mengadakan majlis penyerahan unifom baru kepada pemandu-pemandu teksi LTABL yang bernaung di bawah Persatuan Tuan Empunya dan Pemandu Kereta Sewa Langkawi. Tujuan penyerahan unifom ini adalah untuk terus mempertingkatkan lagi imej LTABL sebagai pintu masuk utama para pelancong ke Langkawi di samping memberikan penampilan yang lebih kemas dan seragam kepada semua pemandu teksi yang memberi perkhidmatan di LTABL. Penyerahan unifom ini dilihat tepat pada masanya memandangkan LIMA 2013 akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini.


Advertisement
Events Calendar