Back to Top

News

(Hi-res image needed)  

Bookmark and Share

Malaysia Airports Eratkan Ikatan Semasa Kakitangan Melalui Ceria Aidilfitri

13 September 2011

Sepang, 13 September 2011 - Malaysia Airports terus mengeratkan hubungan di antara kakitangannya melalui majlis Ceria Aidilfitri, yang memberi peluang kepada warga kerjanya untuk berkumpul dan beramah mesra di bawah satu bumbung.

Tan Sri Datuk Dr Aris Othman, Pengerusi Malaysia Airports menyatakan, "Majlis seumpama ini dilihat sebagai salah satu cara yang efektif bagi melaksanakan usaha 'employee engagement' kami. Melalui majlis ini, semua warga kerja Malaysia Airports yang terdiri daripada berbilang kaum dan berlainan tugas mendapat peluang untuk berkenalan atau mengeratkan silaturrahim, ke arah mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni."

Tan Sri Aris juga menyatakan, "Selain itu, acara ini juga dapat meningkatkan lagi interaksi di antara majikan dan pekerja, di samping memperkuatkan rasa setia dan kecintaan kepada Syarikat. Setiap aktiviti yang diatur untuk majlis Ceria Aidilfitri ini, seperti memberi duit raya dan juga persembahan kombo yang terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports, secara langsung menjadi landasan mengeratkan hubungan sesama warga kerja."

Tambah Tan Sri Aris, "Majlis rumah terbuka ini juga adalah sebagai salah satu peluang kepada Malaysia Airports sebagai majikan yang prihatin dan bertanggungjawab, untuk memberikan penghargaan kepada semua warga kerjanya. Malaysia Airports turut merasa gembira dapat meraikan Syawal dengan warga kerja serta keluarga mereka, yang telah dan akan terus menyumbang ke arah kemajuan syarikat."

Hampir 2,000 warga kerja Malaysia Airports hadir pada majlis Ceria Aidilfitri ini dan dihidangkan dengan juadah Hari Raya Aidilfitri seperti ketupat, lemang dan kuih muih tradisional, selain persembahan lagu-lagu Hari Raya yang dipersembahkan oleh Kombo Malaysia Airports.

Malaysia Airports juga meneruskan tradisinya berkongsi kegembiraan Hari Raya Aidilfitri bersama golongan kurang bernasib baik dengan meraikan seramai 40 orang anak-anak yatim dan miskin. Anak-anak yatim dan miskin tersebut adalah daripada Sekolah Rendah Kebangsaan Olak Lempit, Banting yang menerima sumbangan duit raya dan cenderahati daripada Malaysia Airports serta coklat sumbangan Malaysia Airports (Niaga) Sdn. Bhd. atau Eraman, anak syarikat Malaysia Airports, yang disampaikan oleh Tan Sri Aris.

Tan Sri Aris menyatakan: "Di dalam kemeriahan menyambut Syawal, kita tidak harus lupa tanggungjawab kita kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim. Mereka juga ingin merasai keseronokan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti kanak-kanak lain jadi Malaysia Airports ingin mengambil peluang ini untuk meraikan dan berkongsi keceriaan Aidilfitri dengan mereka. Tambahan pula, sekolah ini merupakan sekolah angkat Malaysia Airports untuk program pendidikan 'Beyond Borders', jadi Malaysia Airports mahu terus menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban para pelajar sekolah ini yang kurang bernasib baik."

Kata Tan Sri Aris lagi, "Selain itu, Malaysia Airports sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalankan aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat seperti ini selaras dengan Program Transformasi GLC untuk menggalakkan budaya masyarakat penyayang dan prihatin."


Advertisement
FB Like Banner
Events Calendar