Back to Top

Latest News

 

Bookmark and Share

Tabung Pahlawan 2013 dilancarkan di KLIA

04 October 2013

Sepang, 4 October 2013 - Malaysia Airports telah melancarkan Tabung Pahlawan 2013 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke arah menyokong usaha Kementerian Pertahanan dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia untuk menyumbang kepada kebajikan Veteran Tentera.

Tabung ini, yang akan ditempatkan di lokasi strategik di KLIA dan juga LCCT-KLIA mulai hari ini sehingga 31 Disember 2013, akan membantu usaha Kementerian Pertahanan dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia untuk terus mendekati orang ramai, seterusnya meningkatkan dana Tabung Pahlawan ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berbangga dengan sokongan yang ditunjukkan oleh Malaysia Airports dalam menjayakan kempen Tabung Pahlawan tahun ini. Kata beliau lagi, penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Malaysia Airports akan membuka mata rakyat secara keseluruhannya tentang kepentingan mengenang jasa-jasa pahlawan-pahlawan negara, lebih-lebih lagi selepas pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka dalam menangani krisis Lahad Datu awal tahun ini. Penglibatan Malaysia Airports juga adalah sejajar dengan hasrat Menteri Pertahanan yang juga merangkap Menteri Pengangkutan,Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, bagi menjadikan kempen Tabung Pahlawan ini sebagai kempen yang melibatkan kesemua lapisan masyarakat.

Menurut Tan Sri Bashir Ahmad, Pengarah Urusan Malaysia Airports, "Malaysia Airports amat berbesar hati kerana dapat menyumbang ke arah usaha murni Kementerian Pertahanan membantu Veteran Tentera dan pentadbiran melalui Tabung Pahlawan. Ini juga merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Malaysia Airports sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang prihatin dan peka terhadap keperluan semasa negara ini.

Malaysia Airports amat berterima kasih di atas peluang yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan untuk menempatkan Tabung Pahlawan 2013 di KLIA. Malaysia Airports juga ingin menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada Tabung Pahlawan ini sebagai tanda terima kasih kepada bekas tentera yang telah banyak berjasa dalam menjaga dan mengekalkan keamanan negara."

Menurut Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) juga merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kempen Tabung Pahlawan 2013, Laksamana Tan Sri Dato' Setia Mohd Anwar Hj Mohd Nor(Bersara), "Kempen Tabung Pahlawan telah dimulakan sejak tahun 1955 dalam bentuk "Poppy Day" dan pada tahun 1966 telah ditukar kepada Tabung Pahlawan setelah Malaysia ditubuhkan. Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan pada tahun ini telah disempurnakan dengan jayanya oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Hajah Rosmah Mansor selaku Penaung Tabung Pahlawan pada 4 September 2013 di Dewan Merdeka PWTC. Mengambil semangat dari Konvensyen Geneva sebagai memperingati kemenangan dan menginsafi betapa dahsyatnya kesan-kesan peperangan maka Tabung Pahlawan telah dilancarkan di Malaya dan kemudian di Malaysia bagi memperingati dan menghargai perjuangan Veteran dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara. Sumbangan orang ramai dan syarikat swasta dari kempen ini dijadikan sebagai dana untuk menjaga kebajikan Veteran dan keluarga mereka yang memerlukan, di mana Veteran dalam konteks ini adalah bekas-bekas tentera sahaja.

Kerajaan Malaysia juga menggunakan Kempen Tabung Pahlawan ini sebagai satu landasan untuk menyemai dan menanam semangat patriotik dan sifat kecintaan terhadap Negara oleh seluruh warga Negara Malaysia terutama generasi muda. Kerajaan mengajak generasi muda supaya mengenali sejarah dan perjuangan Veteran dalam membantu mencapai kemerdekaan Negara.

Justeru itu, tema Kempen Tabung Pahlawan sengaja dipilih oleh Kementerian Pertahanan sebagai "KEDAULATAN & KESELAMATAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA" bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada rakyat jelata bahawa pertahanan dan keselamatan Negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

Tabung Pahlawan 2013 dilancarkan oleh YB Datuk Abd. Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia di KLIA hari ini. Turut hadir adalah Tan Sri Bashir Ahmad beserta wakil-wakil daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.


Advertisement
Events Calendar