Malaysia Airports Tambah 242 Kakitangan Keselamatan Penerbangan

KUALA LUMPUR, 12 Februari - Malaysia Airports hari ini meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang kendaliannya apabila seramai 242 orang pelatih keselamatan penerbangan menamatkan Latihan Asas Polis Bantuan.

Pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Anggota Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports yang diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini, kakitangan keselamatan penerbangan pengambilan Skuad 1 bagi tahun 2008 secara rasminya telah menamatkan kursus asas yang telah dijalankan selama dua bulan di Pusat Latihan Malaysia Airports, Pulau Pinang dan sembilan minggu di PULAPOL. Ahli keluarga para pelatih turut hadir untuk sama-sama meraikan hari tamat latihan ini.

Penambahan jumlah kakitangan keselamatan penerbangan ini adalah selaras dengan langkah-langkah keselamatan yang sentiasa diutamakan oleh Malaysia Airports di semua lapangan terbang demi memastikan keselamatan para penumpang dan pengguna lapangan terbang. Kakitangan keselamatan penerbangan yang baru menamatkan kursus ini akan ditempatkan di semua lapangan terbang seluruh Malaysia sejurus tamat latihan praktikal (On-Job-Training) selama sebulan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Y.Bhg. Tan Sri Datuk Dr. Aris Othman menyatakan: "Penambahan anggota keselamatan lapangan terbang ini juga adalah salah satu usaha berterusan Malaysia Airports untuk meningkatkan tahap perkhidmatan keselamatan yang ditawarkan di seluruh lapangan terbang kendalian kami dari masa ke semasa."

"Tambahan pula, seluruh dunia mula tertumpu kepada Malaysia setelah KLIA memenangi Anugerah Lapangan Terbang Terbaik Dunia (kategori 15-25 juta penumpang setahun) selama tiga tahun berturut-turut, jadi Malaysia Airports perlulah menunjukkan contoh yang baik bagi semua aspek, termasuklah keselamatan lapangan terbang."

Sambung beliau: "Bilangan anggota keselamatan Malaysia Airports juga terus ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan, dan pada akhir tahun 2008 sahaja, terdapat sejumlah 2233 anggota keselamatan di semua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports, tidak termasuk yang baru tamat latihan pada hari ini."

Pada tahun 2005, Malaysia Airports telah mengumumkan pemakaian pakaian seragam baru bagi para pegawai dan anggota Polis Bantuan lapangan terbang yang menampilkan warna serta spesifikasi yang sama seperti pakaian seragam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta logo baru Perkhidmatan Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports.

Tambah Tan Sri Aris: "Malaysia Airports amat berbangga dapat bekerjasama dengan PULAPOL dalam melengkapkan latihan rekrut baru Polis Bantuan Malaysia Airports. Malaysia Airports yakin bahawa kerjasama ini akan dapat diteruskan bagi meningkatkan tahap kecekapan anggota Polis Bantuan Malaysia Airports."

Malaysia Airports yakin dengan penambahan jumlah kakitangan keselamatan ini, tahap perkhidmatan keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang di bawah kendaliannya akan dapat ditingkatkan selaras dengan perkembangan industri penerbangan awam. Malaysia Airports juga yakin bahawa semua kakitangan keselamatannya, khususnya yang baru tamat latihan ini, akan dapat menunjukkan prestasi dan komitmen yang tinggi.

Turut hadir pada Majlis Tamat Latihan ini adalah Y.Bhg. SAC 11 Dato' Amar Singh Ishar Singh, Komandan PULAPOL.