Back to Top

Latest News

 

Bookmark and Share

Malaysia Airports Tambah Kakitangan Perkhidmatan Bomba Dan Penyelamat Lapangan Terbang

06 July 2012

Sepang, 6 Julai 2012 - Selaras dengan keperluan semasa industri penerbangan dan untuk memastikan tahap keselamatan para penguna lapangan terbang dipertingkatkan dari masa ke semasa, Malaysia Airports hari ini menambah seramai 38 kakitangan bomba dan penyelamat lapangan terbang. 38 rekrut baru ini serta empat rekrut ahli bomba dari lapangan terbang Tanjung Manis, Sarawak telah menamatkan latihan intensif enam bulan Latihan Asas Ahli Bomba Lapangan Terbang dan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Anggota Bomba Malaysia Airports telah diadakan di Balai Bomba & Penyelamat, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini. Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan bomba dan penyelamat Malaysia Airports sebanyak 733 orang.

Bagi empat rekrut daripada Lapangan Terbang Tanjung Manis, ini adalah merupakan penglibatan pertama mereka dalam program latihan kendalian Malaysia Airports. Melalui penglibatan ini, Lapangan Terbang Tanjung Manis yakin dapat mempertingkatkan kemampuan dan kemahiran memadam api dan menyelamat di lapangan terbang kendalian mereka. Latihan asas yang bermula 3 Januari 2012 meliputi teori dan praktikal telah dijalankan selama lima bulan di Pusat Latihan Malaysia Airports Pulau Pinang.

Y.Bhg Dato' Abdul Hamid Mohd Ali, Ketua Pengurus Operasi Malaysia Airports; Tuan Haji Hashim Hj Bojet, Pengarah Eksekutif Tanjung Manis Development dan pegawai-pegawai kanan Malaysia Airports turut hadir menyaksikan perbarisan tamat latihan.

Dato' Abdul Hamid turut menyampaikan hadiah kepada pelatih-pelatih terbaik bagi:-

1. Pelatih Kawad Kaki Terbaik
2. Pelatih Terbaik Kawad Bomba
3. Pelatih Terbaik Akademik
4. Pelatih Terbaik Tanjung Manis
5. Pelatih Terbaik Keseluruhan

Dato' Abdul Hamid menyatakan: "Malaysia Airports yakin dengan pengambilan baru anggota-anggota bomba ini, tahap perlindungan dan keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang di bawah kendaliannya akan dapat dipertingkatkan selaras dengan perubahan dan perkembangan dalam industri penerbangan awam." "Walaupun setakat ini kes kebakaran dan insiden melibatkan pesawat di lapangan terbang boleh dikategorikan kepada kes-kes terpencil sahaja, namun Malaysia Airports senantiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia. Penambahan kakitangan bomba dan menyelamat ini menunjukkan bahawa tahap keselamatan para pengguna di lapangan terbang sentiasa dipandang serius oleh Malaysia Airports, tambah Dato' Abdul Hamid.

"Malaysia Airports juga merasa amat berbangga kerana dapat berkongsi kemahiran dan pengalaman dengan Lapangan Terbang Tanjung Manis, Sarawak dalam latihan kebombaan dan menyelamat ini. Diharapkan kerjasama seumpama ini akan terus terjalin demi memastikan keselamatan semua pihak di lapangan terbang seluruh Malaysia terjamin." Malaysia Airports sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam aspek kebombaan lapangan terbang.

Selain daripada melatih kakitangan bomba bagi lapangan terbang di bawah kendaliannya, Malaysia Airports juga telah meluaskan kepakaran latihannya ke luar negara dengan melatih kakitangan bomba dan menyelamat bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad dan Delhi di India.

Pada bulan Mac lepas, Malaysia Airports juga telah menambah jumlah jentera bomba baru di lapangan terbang-lapangan terbang antarabangsa kendaliannya. Inisiatif penambahan jentera bomba yang baru serta berteknologi tinggi ini dapat dilihat sebagai satu pelaburan yang baik bukan sahaja dalam meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang, malah membantu meningkatkan tahap kecekapan pasukan Bomba dan Penyelamat dalam mengatasi sebarang insiden di lapangan terbang.


Advertisement
Events Calendar