Back to Top

Latest News

 

Bookmark and Share

Malaysia Airports Perkuatkan Keselamatan Dengan Pengambilan 228 Rekrut Baru

14 December 2012

Sepang, 14 Disember 2012 - Malaysia Airports meneruskan usaha memperkuatkan tenaga Polis Bantuan di seluruh lapangan terbang kendaliannya dengan mengambil seramai 228 pelatih pembantu keselamatan penerbangan, selaras dengan keperluan semasa.

Para pelatih ini secara rasminya menamatkan Latihan Asas Polis Bantuan mereka hari ini pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Anggota Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports yang diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Pelatih terbaik untuk kategori Terbaik Keseluruhan, Terbaik Akademik dan Terbaik Kawad turut diumumkan pada majlis tersebut.

Anggota keselamatan penerbangan pengambilan siri 2/2012 telah berjaya menamatkan kursus intensif yang telah dijalankan sebanyak tiga fasa selama enam bulan, iaitu fasa pertama Latihan Kepolisan selama dua bulan dan fasa kedua Keselamatan Penerbangan juga selama dua bulan di Pusat Latihan Polis DiRaja Malaysia (PULAPOL) Langkawi dan kemudian dua bulan On-job Trainingdi KLIA di fasa ketiga.

228 rekrut baru ini terdiri daripada 155 pelatih lelaki dan 73 pelatih wanita. Kekuatan bagi pengambilan kali ini pula adalah seramai enam orang Eksekutif Keselamatan, 29 orang Pegawai Keselamatan dan 193 orang Pembantu Keselamatan. Anggota keselamatan penerbangan yang baru menamatkan kursus ini akan ditempatkan di semua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports.

Selain daripada latihan aspek kepolisan dan keselamatan penerbangan, para pelatih juga turut didedahkan dengan aspek perkhidmatan pelanggan yang diterapkan melalui program khas Malaysia Airports iaitu "Courtesy & Care Program". Melalui program ini para pelatih mempelajari tatacara berurusan dengan para pelanggan dengan baik, berhemah dan berbudi bahasa tanpa berkompromi tentang prosedur dan ketetapan ketika bertugas.

Penambahan jumlah anggota keselamatan penerbangan ini adalah selaras dengan langkah-langkah keselamatan yang sentiasa diutamakan oleh Malaysia Airports di semua lapangan terbang demi memastikan keselamatan para penumpang dan pengguna lapangan terbang. Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Malaysia Airports menegaskan kepentingan keselamatan di lapangan terbang, "Sebagai pintu masuk utama negara, Malaysia Airports telah meletakkan keutamaan bagi Keselamatan Penerbangan berada pada tahap yang tertinggi dan telah menyediakan peruntukan yang banyak dalam memberikan latihan dan juga membeli peralatan-peralatan terbaru yang berteknologi tinggi bagi mengatasi ancaman-ancaman keselamatan penerbangan."

Beliau menambah, "Tidak dinafikan, seiring dengan kepesatan industri penerbangan, tahap ancaman keselamatan terhadap penerbangan juga turut meningkat dan peristiwa September 2001 serta peristiwa-peristiwa keselamatan penerbangan yang lain menyedarkan kita betapa pentingnya aspek keselamatan penerbangan dipertingkatkan. Ancaman pihak pengganas khususnya telah menyebabkan pelbagai usaha berterusan diambil oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan pihak berkuasa lapangan terbang seluruh dunia mempunyai sistem keselamatan yang mencukupi dan mematuhi piawaian keselamatan pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa atau ICAO."

Kehendak para pengguna lapangan terbang sentiasa meningkat, selaras dengan keperluan semasa industri penerbangan yang semakin mencabar dari masa ke semasa. Oleh itu, Malaysia Airports sedar tentang kepentingan untuk memastikan tahap perkhidmatan yang disediakan berada pada tahap yang terbaik setiap masa. Sambung beliau, "Menerusi penambahan kumpulan Pelatih baru ini keseluruhan kakitangan Polis Bantuan Malaysia Airports dijangka melebihi 3,132 di seluruh negara. Setakat ini, Malaysia Airports merupakan salah satu agensi yang mempunyai jumlah anggota Polis Bantuan yang terbesar di negara ini."

Tan Sri Wan Abdul Aziz turut menyatakan, " Pihak Malaysia Airports dan Polis DiRaja Malaysia telah bekerjasama dalam bidang latihan hingga berjaya melahirkan anggota-anggota Polis Bantuan yang terlatih berilmu dan berdisiplin. Kerjasama antara Malaysia Airports dan PDRM ini telah terjalin sekian lama dan adalah diharapkan kerjasama di antara kita akan terus terjalin di dalam semua bidang khususnya dalam bidang latihan dan juga penguatkuasaan undang-undang di lapangan terbang."


Advertisement
Events Calendar