Back to Top

News

Hi-res image needed  

Bookmark and Share

Malaysia Airports Sampaikan RM51,000 Wang Zakat Untuk Pelajar SK Pengkalan Chepa

05 May 2011

Kota Bharu, 5 May 2011 - Malaysia Airports telah menyampaikan wang zakat berjumlah RM200 seorang kepada 255 pelajar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan bagi pelajar tahun 1 hingga tahun 6 yang berkelayakan pada 29 April 2011 dalam usahanya untuk membantu meringankan beban perbelanjaan di samping menunaikan ibadah zakat.

Wang zakat ini telah disampaikan oleh Tan Sri Datuk Dr. Aris Othman, Pengerusi Malaysia Airports kepada ibu bapa para pelajar tersebut di dalam satu majlis di dewan sekolah berkenaan.

Menurut Tan Sri Aris, "Sekolah ini dipilih berdasarkan statusnya sebagai bekas sekolah angkat Malaysia Airports untuk program pendidikan Beyond Borders Malaysia Airports. Sekolah ini telah menjadi sekolah angkat Malaysia Airports di antara tahun 2008 sehingga 2010."

Program Beyond Borders Malaysia Airports adalah satu program pendidikan di bawah panji projek PINTAR (Promoting Intelligence, Nurturing Talents, Advocating Responsibility) yang merupakan suatu inisiatif yang diilhamkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Projek ini bertujuan untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dan usaha memperbaiki tahap pencapaian akademik.

Tan Sri Aris menyatakan, "Wang zakat yang diagihkan oleh Malaysia Airports adalah sebahagian daripada wang zakat di bawah kategori zakat perniagaan di mana ia merupakan zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sesebuah organisasi atau syarikat dengan tujuan diperniagakan."

Kata Tan Sri Aris lagi, "Pengeluaran dan pembahagian zakat syarikat ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia Airports untuk berkongsi hasil syarikat ke jalan Allah dengan membantu golongan yang memerlukan."

Terdahulu, Malaysia Airports dengan kerjasama pihak Lembaga Zakat Selangor telah mengagihkan sebahagian daripada wang zakat syarikat berjumlah RM181,000.00 untuk diagihkan kepada individu yang layak di sembilan buah bekas sekolah angkat Beyond Borders Malaysia Airports.


Advertisement
FB Like Banner
Events Calendar