Back to Top

News

Datuk Badlisham (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama penyelia Maahad Darul Hasyimie*  

Bookmark and Share

MALAYSIA AIRPORTS SUMBANG RM5,000 BANTU RINGANKAN BEBAN PELAJAR DAN PENGAJAR MAAHAD DARUL HASYIMIE

27 March 2017

MALAYSIA AIRPORTS SUMBANG RM5,000 BANTU RINGANKAN BEBAN PELAJAR DAN PENGAJAR MAAHAD DARUL HASYIMIE

ALOR SETAR – Sempena lawatan kerja Datuk Badlisham Ghazali, Pengarah Urusan Malaysia Airports ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar,  beliau sempat berkunjung ke Maahad Darul Hasyimie yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang tersebut bagi menyampaikan bantuan sumbangan zakat berjumlah RM5,000 bagi meringankan beban yang ditanggung oleh maahad tersebut.

Kunjungan seumpama ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Malaysia Airports yang dirangka khusus untuk membantu dan meringankan beban komuniti setempat termasuk golongan yang kurang bernasib baik terutamanya di sekitar kawasan di mana syarikat beroperasi.

Pada tahun ini maahad tersebut menempatkan lebih daripada 30 orang pelajar serta tiga tenaga pengajar tetap dan telah beroperasi selama lebih daripada empat tahun. Selain daripada bergantung kepada sumbangan awam, maahad tersebut secara berterusan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti pengumpulan dana seperti program pemantapan sahsiah dan rohani - Kem Aulad Cinta Nabi, majlis maulid mingguan, majlis pengajian muslimat bulanan, majlis qiamullai dan pelbagai lagi.

Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Nik Abdul Aziz Hashim yang merupakan pengerusi kepada maahad tersebut. Turut hadir adalah Pengurus Besar Malaysia Airports Sdn Bhd, Suhaimi Abdul Mubin dan Pengurus LTSAH, Puteh Ramli.

Badlisham berkata, “Sumbangan ini adalah sebagai tanda keprihatinan kami sebagai sebuah entiti korporat dan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami kepada komuniti di mana kami beroperasi. Diharapkan sumbangan ini mampu menyuntik semangat kepada seluruh tenaga pengajar dan pelajar-pelajar maahad ini khususnya untuk meneruskan aktiviti pengajian mereka dan sekaligus membuahkan keputusan yang terbaik.”

Kunjungan Badlisham ke LTSAH adalah sambungan bagi gerak kerja beliau mengunjungi semua lapangan terbang di bawah kendalian Malaysia Airports di seluruh negara.

Badlisham turut berkesempatan meluangkan lebih tiga jam bersama wargakerja Malaysia Airports di LTSAH untuk satu sesi dialog membincangkan hala tuju syarikat dan berdialog secara langsung bersama beliau selaku Pengarah Urusan Malaysia Airports.

Di sesi itu juga, Badlisham turut menyampaikan penghargaan kepada lima orang warga kerja LTSAH yang terpilih di atas dedikasi, komitmen dan prestasi  kerja cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka di lapangan terbang tersebut bagi tahun 2016.

Sempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 Malaysia Airports pada tahun ini, pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menjamin pengalaman yang ceria kepada semua penumpang. Gerak kerja seumpama ini juga merupakan satu usaha bagi mewujudkan persekitaran yang berinovasi dalam merealisasikan visi syarikat untuk menjadi peneraju global dalam pewujudan bandar lapangan terbang.


Advertisement
Events Calendar