Back to Top

Latest News

Pakaian seragam AFRS baharu (kiri) dan lama (kanan)  

Bookmark and Share

MALAYSIA AIRPORTS PERKENALKAN PAKAIAN SERAGAM BAHARU DAN TAMBAH KAKITANGAN PERKHIDMATAN BOMBA DAN MENYELAMAT LAPANGAN TERBANG

SEPANG – Di dalam usaha untuk memperkasakan dan menaikkan lagi imej anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang atau lebih dikenali dengan ’Airport Fire & Rescue Service’ (AFRS), Malaysia Airports telah memperkenalkan pakaian seragam baharu untuk anggota-anggota AFRS pada Perbarisan Tamat Latihan Asas AFRS di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.   

Pelancaran Pakaian Seragam AFRS yang baharu ini telah disempurnakan hari dengan melalui pemakaian ‘Peak Cap’ oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Malaysia Airports kepada Encik Abdul Malik Mohd Yunus, Pengurus Besar, AFRS Malaysia Airports Pemakaian ini adalah sebagai simbolik Pelancaran Pakaian Seragam AFRS yang baharu dan secara rasminya merupakan pakaian seragam Pegawai dan Anggota AFRS Malaysia Airports mulai hari ini. 

Pada majlis yang sama juga, seramai 19 orang pelatih Pegawai Bomba dan 64 orang pelatih Ahli Bomba telah menamatkan Latihan Asas Bomba & Menyelamat Lapangan Terbang. Mereka telah menjalani latihan intensif selama enam bulan di Pusat Latihan Malaysia Airports Bayan Lepas, Pulau Pinang bermula pada 2 Febuari 2014 dan latihan ‘On Job Training’ selama sebulan di Balai AFRS SATU (1), KLIA. Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan AFRS Malaysia Airports sebanyak 876 orang di seluruh lapangan terbang kendaliannya. 

Selain daripada latihan fizikal, pengendalian peralatan kebombaan dan kefahaman berhubung ilmu kebombaan, pelatih-pelatih ini juga diberi pendedahan berhubung aspek undang-undang seperti Standard & Recommended Practices (SARPs) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Akta Penerbangan Awam 1969, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1996, Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dan juga Arahan No. 20 Majlis Keselamatan Negara. 

Tan Sri Wan Abdul Aziz turut menyampaikan hadiah kepada pelatih-pelatih terbaik bagi:-

1. Kadet dan Rekrut Terbaik – Akademik 

2. Kadet dan Rekrut Terbaik – Kawad Bomba

3. Kadet dan Rekrut Terbaik – Kawad Kaki

4. Kadet dan Rekrut Terbaik – Keseluruhan

 Malaysia Airports yakin dengan pengambilan baru Pegawai dan Anggota AFRS ini, tahap kecekapan dan masa tindakbalas kecemasan di semua lapangan terbang di bawah kendaliannya akan dapat dipertingkatkan selaras dengan perubahan dan perkembangan dalam industri penerbangan awam. Malaysia Airports senantiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia pada setiap masa walaupun setakat ini kes kebakaran dan insiden melibatkan pesawat di lapangan terbang boleh dikategorikan kepada kes-kes terpencil sahaja. 

Malaysia Airports juga telah mengambil inisiatif lain untuk meningkatkan keupayaan AFRS dengan menambah jumlah jentera bomba baharu di lapangan terbang-lapangan terbang kendaliannya. Penambahan jentera bomba yang baru serta berteknologi tinggi ini dapat dilihat sebagai satu pelaburan strategik dalam meningkatkan tahap keselamatan penerbangan di lapangan terbang, malah membantu meningkatkan tahap kecekapan Perkhidmatan AFRS  dalam menangani sebarang insiden di lapangan terbang. 

Malaysia Airports sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam aspek kebombaan lapangan terbang. 

Selain daripada melatih kakitangan Bomba dan Menyelamat bagi lapangan terbang di bawah kendaliannya, Malaysia Airports juga telah meluaskan kepakaran latihannya ke luar negara dengan melatih kakitangan Bomba dan Menyelamat bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad dan Delhi di India dan juga Maldives.


Advertisement
Events Calendar