Back to Top

News

 

Bookmark and Share

PRODUK SERI PINANG SEPANJANG FEBRUARI DI AGROBAZAAR klia2 SEMPENA 'JOYFUL MALAYSIA’

02 February 2018

SEPANG 2 Feb. – Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang, Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dengan kerjasama Malaysia Airports dan juga FAMA akan mengadakan program 'Joyful Malaysia@KLIA & klia2' yang menyajikan pelbagai pengisian menarik tentang negeri ini sepanjang bulan ini.

Program ini adalah kelangsungan daripada promosi negeri-negeri yang pernah diadakan di sini seperti Perak, Melaka, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu pada tahun 2017. Program pada kali ini menampilkan produk-produk usahawan tempatan, persembahan dan demonstrasi kebudayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulalu Pinang, YB Datuk Sr. Dr. Hj. Muhammad Farid bin Saad, berkata, program dengan warna dan bunyi negeri memberi peluang kepada pengguna di kedua-kedua terminal penerbangan untuk melihat, merasai, mengalami dan menikmati keunikan produk, destinasi pelancongan dan menonjolkan juga kekuatan seni, budaya dan warisan negeri. Program pada kali ini akan diteruskan sehingga 4 Mac 2018.

YBhg. Tan Sri Dato' Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin, Pengerusi FAMA dipetik berkata, Agrobazaar klia2 dapat membantu mempromosikan produk-produk usahawan yang mana pada kali ini sebanyak 22 usahawan dan 67 Stock Keeping Unit (SKU) terlibat. Selain dari itu, kita juga mendapat sokongan dari agensi seperti KADA, MADA, FELDA, ANGKASA dan PASFA yang mana turut memberi kepercayaan kepada Agrobazaar klia2 bagi membantu mempromosikan produk mereka. 

Tambah Dato Ahmad Ishak, Ketua Pengarah FAMA, dengan purata jualan sebanyak RM3,000 sehari, pihak FAMA percaya dengan adanya tambahan-tambahan program seperti ini di masa akan datang nilai jualan bagi outlet Agrobazaar klia2 akan lebih meningkat. Tambahan pula, produk ini juga turut dieksport ke Singapura melalui Agrobazaar Malaysia di Singapura yang mana mempunyai satu tujuan utama iaitu membantu usahawan tempatan.

Dalam usaha memperkukuhkan kedudukan KLIA sebagai sebuah hab serantau, pengarah urusan Malaysia Airports, YBhg. Datuk Badlisham Ghazali berkata, “sebagai pengendali utama lapangan terbang negara, kami amat mengalukan kegiatan keusahawanan seperti ini yang sekaligus dapat memberikan variasi kepada para penumpang antarabangsa dan tempatan dalam memahami dan menyelami budaya Malaysia melalui industri makanan selain gaya hidup masyarakat tempatan. Semenjak pembukaan Agrobazaar di terminal klia2, ianya dilihat sebagai satu langkah bijak dalam mempromosi kepelbagaian budaya, di mana para pelancong dapat merasa juadah makanan yang terdapat di negeri serata Malaysia di bawah satu bumbung. Di samping itu, dengan kerjasama yang wujud di antara FAMA dan Malaysia Airports, kami juga dapat menyumbang kepada penyediaan peluang perniagaan kepada pengusaha PKS yang sekaligus dapat menyemarakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

YBhg. Datuk Zolkopli bin Dahalan, Timbalan Ketua Pengarah ICU JPM (Pembangunan Strategik) dipetik berkata bahawa Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang melalui Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan di bawah Jabatan Perdana Menteri bekerjasama dengan Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang telah menyediakan peruntukan bagi melaksanakan inisiatif strategik untuk memasarkan produk jenama Seri Pinang ke luar dari Pulau Pinang dan KLIA dan klia2 dilihat sebagai lokasi yang sesuai untuk pemasaran produk-produk Seri Pinang memandangkan ianya adalah pintu keluar masuk utama negara yang membawa pelancong dari luar dan dalam negara.



Advertisement
FB Like Banner
Events Calendar