Back to Top

News

 

Bookmark and Share

MALAYSIA AIRPORTS DAN PEJABAT ADUN KUAH ANJUR PROGRAM MOTIVASI UPSR MELIBATKAN 197 PELAJAR SEKOLAH DI LANGKAWI

07 April 2017

LANGKAWI – Malaysia Airports berbesar hati untuk turut serta di dalam penganjuran program motivasi “Developing Extraordinary Pupils” bagi pelajar Tahun Enam melibatkan lima buah sekolah di sekitar Langkawi iaitu SK Ulu Melaka, SK Bayas, SK Selat Bagan Nyior, SK Lubuk Chempedak dan SK Pulau Tuba. Program motivasi yang berlangsung selama tiga hari bermula daripada 5 – 7 April 2017 ini merupakan anjuran bersama Malaysia Airports dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah.

Majlis penutup program motivasi ini telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Pejabat Pendidikan Negeri Kedah, Shahrunnizam Abdullah dan turut dihadiri oleh Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jefry Ramli.

Program motivasi yang melibatkan 197 orang pelajar Tahun Enam ini telah diadakan di Kem PLKN Lagenda Seri Negeri, Langkawi dan ianya merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Malaysia Airports untuk menyumbang kembali kepada komuniti setempat dimana syarikat itu beroperasi.

Mengulas akan penglibatan Malaysia Airports dalam program-program sebegini, Jefry Ramli berkata “Penglibatan Malaysia Airports di dalam program motivasi seperti ini adalah penglibatan kali kedua kami di Langkawi setelah kejayaan sesi pertama yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka pada bulai Mei tahun lalu. Penglibatan kami dalam penganjuran program-program sebegini adalah tanda sokongan kami selaku sebuah organisasi dan entiti korporat dalam memberi sumbangan kepada institusi pendidikan di mana kami menjalankan operasi perniagaan kami dan sekaligus menyatakan sokongan kami dalam mendukung aspirasi dan agenda pendidikan negara.”

“Program ini juga adalah salah satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami dalam menyumbang kembali kepada komuniti setempat. Harapan kami adalah dengan adanya program-program motivasi sebegini, ia mampu menyuntik semangat para pelajar Tahun Enam ini untuk mempersiapkan keupayaan mental mereka bagi menghadapi peperiksaan UPSR yang akan datang dan akhirnya nanti membuahkan hasil yang membanggakan,” tambah beliau lagi.

Program Motivasi I Start First merupakan program yang diformula khas untuk kakitangan Malaysia Airports dan kemudiannya telah dilanjutkan kepada guru dan pelajar Program Sekolah Angkat Malaysia Airports di bawah program Beyond Borders . Program ini dikelolai oleh "Master Trainer" Malaysia Airports sendiri yang telah menawarkan diri dan masa mereka untuk menjadi sukarelawan kepada program ini. Sejak Program Sekolah Angkat Malaysia Airports, Beyond Borders ini dilancarkan pada 2007, lebih 20,000 pelajar daripada 29 buah sekolah telah menerima manfaat melalui program motivasi ini.

Sementara itu, Shahrunnizam berkata pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih di atas kesudian Malaysia Airports untuk menganjur program motivasi UPSR pada kali ini dan beliau mengharapkan peluang yang diperoleh oleh pelajar Tahun Enam ini dimanfaatkan sebaiknya dalam mempersiapkan mereka bagi menghadapi peperiksaan UPSR pada bulan September nanti.


Advertisement
FB Like Banner
Events Calendar