Back to Top

News

 

Bookmark and Share

MALAYSIA AIRPORTS MENERUSKAN USAHA PENJENAMAAN MALAYSIA DI LAPANGAN TERBANG MENERUSI ANJURAN FESTIVAL ZAPIN DI KLIA

23 December 2017

SEPANG – Satu Festival Zapin Belia Malaysia 2017 julung-julung kali diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL hasil usahasama Malaysia Airports dan Majlis Belia Malaysia (MBM). Anjuran festival zapin ini merupakan salah satu inisiatif Malaysia Airports dalam meneruskan usaha penjenamaan Malaysia di lapangan terbang di bawah payung ‘Joyful Malaysia’

Mengikut kata pengarah urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali, “Trend kebanyakan lapangan terbang terkemuka dunia kini banyak menjurus kepada penyediaan persekitaran yang melambangkan identiti negara atau ‘sense of place’ di mana ia beroperasi. Festival zapin ini merupakan unjuran daripada inisiatif Anjung Malaysia yang baru dirasmikan bulan lepas. Kini kami juga berusaha untuk memartabat serta memperkenalkan seni warisan kebudayaan Melayu kepada pengunjung asing.”

Festival zapin ini juga merupakan sebuah program tanggungjawab sosial korporat Malaysia Airports yang mana ia dapat menggalak golongan belia Malaysia untuk menyemarakkan lagi seni warisan budaya Malaysia yang nyata unik. Badlisham juga berkata yang MBM merupakan rakan kerja paling tepat dalam usaha ini kerana badan induk pertubuhan belia tersebut telah banyak menjayakan program-program kemajuan belia selaras dengan aspirasi Transformasi Nasional (TN50) untuk menjadikan Malaysia sebagai 20 negara terbaik menjelang tahun 2050.

Fesitival tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi yang dalam ucapannya berkata, “Saya menyokong penuh usaha ini kerana festival ini merupakan serampang dua mata. Pertama, ia merupakan akitiviti sihat yang dapat mengajak golongan belia menghargai warisan negara. Keduanya, apabila festival sebegini dijalankan di sebuah lapangan terbang antarabangsa, sudah tentunya ia akan menjadi satu landasan bagi kita mempamerkan budaya kita sebagai satu tarikan pelancong.”

KLIA merupakan gerbang utama laluan pelancong memasuki Malaysia dan telah menerima sejumlah bilangan pelancong yang besar. Sepanjang bulan Januari hingga November 2017, KLIA mencatat lebih kurang 38 juta pergerakan penumpang antarabangsa dan ini merangkumi lebih 70% jumlah keseluruhan pergerakan penumpang di KLIA. Jumlah pergerakan penumpang antarabangsa meningkat lebih 14% berbanding tahun 2016.

Kempen Festival Zapin ini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 25 kumpulan zapin dari pelbagai organisasi belia di seluruh negara seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Festival Zapin ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM13,500 kepada para pemenang. Juara Festival Zapin memenangi wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara memenangi RM3,000 dan pemenang tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000. Manakala pemenang saguhati akan mendapat RM500 bagi setiap pasukan. Turut hadir memeriahkan Festival Zapin ini adalah Presiden Majlis Belia Malaysia, Encik Mua’amar Ghadafi Jamal.



Advertisement
FB Like Banner
Events Calendar