Back to Top

News

 

Bookmark and Share

41 PELATIH TAMAT LATIHAN ASAS BOMBA & MENYELAMAT LAPANGAN TERBANG, MALAYSIA AIRPORTS TERUS KOMITED PASTIKAN KECEMERLANGAN ASPEK KEBOMBAAN LAPANGAN TERBANG

23 May 2017

SEPANG – Malaysia Airports terus komited dan berusaha ke arah kecemerlangan dengan menepati piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam semua aspek termasuk aspek kebombaan lapangan terbang. Seramai 41 pelatih lagi telah berjaya menamatkan Latihan Asas Bomba & Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) pada tahun ini. Para pelatih ini telah diraikan di satu Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Kebombaan Lapangan Terbang Siri 08/17 pada awal pagi ini di Malaysia Airports Training Centre (MATC), KLIA sambil disaksikan oleh warga kerja Malaysia Airports dan tetamu jemputan khas.

Di majlis yang sama, upacara pemakaian ‘Patch’ kepada Pengurus Besar AFRS, Tuan Abd Malik Mohd Yunus turut diadakan dan ianya merupakan tanda simbolik Pra - Pelancaran Sambutan 70 Tahun Perkhidmatan Bomba & Menyelamat Lapangan Terbang yang secara rasminya akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

Majlis sambutan 70 Tahun Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat merupakan majlis yang julung - julung kalinya akan diadakan di Pejabat Korporat Malaysia Airports bagi menghargai perkhidmatan dan anggota AFRS. Sambutan ini secara umumnya adalah untuk memberi pemahaman yang lebih jelas akan peranan dan tanggungjawab perkhidmatan AFRS.

Dahulunya dikenali sebagai Airport Emergency Services (AES) dan ditubuhkan semasa Lapangan Terbang Sungei Besi mula beroperasi penuh pada tahun 1947, AFRS kini telah berkembang dan menempuh pelbagai cabaran yang sekaligus mendorong organisasi ini untuk terus komited dalam menyediakan perkhidmatan kebombaan bertaraf antarabangsa. Revolusi perkhidmatan dapat dilihat dari segi penyediaan anggota yang terlatih, jentera - jentera bomba yang berteknologi tinggi, peralatan kebombaan dan kemudahan - kemudahan latihan yang sentiasa dinaik taraf di semua lapangan terbang. Ini membuktikan komitmen dan kejayaan yang besar pihak pengurusan Malaysia Airports secara keseluruhan bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan operasi penerbangan sentiasa di tahap yang terbaik.

Dalam ucapan penutup di majlis tersebut, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, “Dalam memastikan aspek keselamatan penerbangan di Malaysia berada di tahap yang terbaik, pihak pengurusan Malaysia Airports telah merangka perancangan bagi menggantikan tujuh buah Jentera Ziegler yang sedia ada di KLIA pada tahun ini. Gantian jentera-jentera adalah merupakan salah sebuah dari syarat-syarat yang ditetapkan di dalam piawaian ICAO.”

“Disamping itu, pengambilan pelatih-pelatih ini sejajar dengan perkembangan industri penerbangan awam pada ketika ini yang kian mencabar terutamanya dengan pengoperasian pesawat bersaiz besar seperti Airbus 380 yang mengendalikan penumpang yang ramai. Justeru itu, Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang memerlukan individu yang cergas, berpengetahuan, berkemahiran, dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas setiap masa,” tambah beliau lagi.

Kesemua pelatih telah menjalani latihan intensif selama enam bulan di Pusat Latihan Malaysia Airports Bayan Lepas, Pulau Pinang bermula pada 11 November 2016 dan latihan ‘On Job Training’ di Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Selain menjalani latihan fizikal, para pelatih turut didedahkan dengan pengendalian peralatan kebombaan dan kefahaman berhubung ilmu daripada segi pendedahan aspek akta undang-undang penerbangan dalam negeri dan antarabangsa.

Selain Tan Sri Dato’ Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, turut hadir di majlis yang sama Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Azmi Osman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.


Advertisement
Events Calendar